JOHOR BAHRU: “Seminggu lalu ketika mengejutnya dari tidur, dia sempat berkata, ‘aku ni dah nak pergi’. “Saya tidak sangka hari ini (semalam) hasratnya untuk pergi dalam keadaan baik tercapai apatah lagi ia berlaku pada hari pertama Ramadan,” kata anak sulung penyanyi popular lewat 1960-an Allahyarhamah Hasnah Haron, 65, yang meninggal dunia akibat kanser pangkal rahim di sini, pagi semalam.
Haslinda Mohd Eunos, 39, yang ditemui di kediaman Hasnah di Jalan Padi Mahsuri Dua, Bandar Baru Uda di sini, berkata, dia sekeluarga reda dengan pemergian ibu mereka kerana tidak sanggup lagi melihat penderitaannya sejak dua tahun lalu.
Menurutnya, penyakit ibunya dikesan Januari tahun lalu sebelum mereka sekeluarga menghantar Hasnah untuk menjalani pelbagai rawatan termasuk kimoterapi dan perubatan Islam.
“Sabtu lalu, ketika menemani mak mendapatkan rawatan berlandaskan kaedah perubatan Islam di Masjid Kampung Pasir, Tampoi, kami dimaklumkan kanser dihidapnya sudah merebak ke paru-paru malah, buah pinggangnya juga membengkak.
“Kami lima beradik sepakat merahsiakan hal berkenaan kerana tidak mahu membebankan hati serta fikiran ibu,” katanya.
Menurutnya, ibunya dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Rabu lalu selepas mengalami sesak nafas.
“Ketika dimasukkan ke HSI, ibu sukar makan dan minum kerana kanser di tekak, malah sejak jam 6 pagi (semalam), ibu juga mula tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia dua jam kemudian di samping kami lima beradik serta saudara terdekat,” katanya.
Haslinda berkata, pengalaman menjaga ibunya adalah anugerah Tuhan yang paling bernilai buat mereka.
~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~